CONMEBOL Copa América

Kejohanan Bola Sepak Amerika Selatan

Copa América (Bahasa Inggeris: America Cup) atau CONMEBOL Copa América, yang dikenali sebagai Kejohanan Bola Sepak Amerika Selatan (Campeonato Sudamericano de Fútbol dalam Bahasa Sepanyol dan Copa Sul-Americana de Futebol dalam Bahasa Portugis) sehingga tahun 1975, ialah kejohanan bola sepak lelaki utama yang dipertandingkan antara pasukan kebangsaan dari Amerika Selatan. Ia merupakan kejohanan bola sepak benua yang paling lama berjalan dalam sejarah, serta kejohanan ketiga paling banyak ditonton di dunia. Kejohanan ini menentukan juara bola sepak Amerika Selatan. Sejak tahun 1990-an, pasukan dari Amerika Utara dan Asia juga dijemput untuk bertanding.

Sejak tahun 1993, kejohanan ini lazimnya menampilkan 12 pasukan—kesemua 10 pasukan CONMEBOL dan dua pasukan tambahan dari konfederasi lain. Mexico telah menyertai setiap edisi antara 1993 hingga 2016, bersama satu lagi pasukan dari CONCACAF, kecuali pada tahun 1999 apabila pasukan AFC, Jepun, melengkapkan jumlah 12 pasukan, dan pada 2019 yang menampilkan Jepun dan Qatar. Edisi 2016, dikenali sebagai Copa América Centenario, menampilkan 16 pasukan, dengan enam daripadanya dari CONCACAF selain 10 pasukan CONMEBOL. Dua kali Mexico menjadi naib juara, pencapaian tertinggi bagi pasukan bukan dari CONMEBOL.

Lapan daripada sepuluh pasukan kebangsaan CONMEBOL telah memenangi kejohanan ini sekurang-kurangnya sekali dalam 47 edisi sejak ia bermula pada tahun 1916, dengan hanya Ecuador dan Venezuela masih belum pernah menjuarai kejohanan ini. Argentina dan Uruguay masing-masing memegang rekod kejuaraan terbanyak dengan 15 kali. Argentina, yang menjadi tuan rumah edisi pertama pada tahun 1916, juga merupakan negara paling kerap menjadi tuan rumah kejohanan ini (sembilan kali). Amerika Syarikat ialah satu-satunya negara bukan ahli CONMEBOL yang pernah menjadi tuan rumah, iaitu pada tahun 2016. Sebanyak tiga kali (pada tahun 1975, 1979, dan 1983), kejohanan ini dianjurkan di beberapa negara Amerika Selatan secara serentak.

Pasukan bola sepak pertama di Amerika Selatan, iaitu Lima Cricket and Football Club, ditubuhkan di Peru pada tahun 1859, manakala Persatuan Bola Sepak Argentina ditubuhkan pada tahun 1893. Menjelang awal abad ke-20, bola sepak semakin popular, dan kejohanan antarabangsa pertama antara pasukan kebangsaan di benua itu diadakan pada tahun 1910 apabila Argentina menganjurkan kejohanan sempena ulang tahun ke-100 Revolusi Mei. Chile dan Uruguay turut serta, tetapi kejohanan itu tidak dianggap rasmi oleh CONMEBOL. Begitu juga, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Argentina pada tahun 1916, satu kejohanan diadakan dari 2 hingga 17 Julai dengan penyertaan Argentina, Chile, Uruguay, dan Brazil. Kejohanan ini, dikenali sebagai Campeonato Sudamericano de Football, merupakan edisi pertama Copa América; Uruguay muncul juara edisi sulung ini selepas seri 0–0 dengan tuan rumah Argentina dalam perlawanan penentu yang berlangsung di Estadio Racing Club di Avellaneda.

Melihat kejayaan kejohanan itu, seorang ahli lembaga Persatuan Bola Sepak Uruguay, Héctor Rivadavia, mencadangkan penubuhan konfederasi yang menggabungkan persatuan Argentina, Brazil, Chile dan Uruguay, dan pada 9 Julai—hari kemerdekaan Argentina—CONMEBOL pun ditubuhkan. Tahun berikutnya, kejohanan diadakan sekali lagi, kali ini di Uruguay. Uruguay sekali lagi menjuarai kejohanan, menewaskan Argentina 1–0 dalam perlawanan terakhir dan merangkul gelaran “bicampeonato”. Kejayaan kejohanan di bumi Charrúa ini membantu mengukuhkan kedudukannya. Selepas kejohanan pada tahun 1918 dibatalkan akibat wabak selesema di Rio de Janeiro, Brazil menjadi tuan rumah pada tahun 1919 dan muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan 1–0 dalam perlawanan penentuan. Bandar Viña del Mar di Chile menjadi tuan rumah edisi 1920, yang dimenangi oleh Uruguay.

Pada edisi 1921, Paraguay menyertai buat kali pertama selepas persatuan bola sepaknya bernaung di bawah CONMEBOL pada tahun yang sama. Argentina memenangi kejohanan buat kali pertama hasil jaringan Julio Libonatti. Dalam tahun-tahun berikutnya, Uruguay mendominasi kejohanan yang pada ketika itu merupakan kejohanan bola sepak terbesar di dunia. Namun Argentina tidak ketinggalan dan bersaing rapat dengan pasukan Charrúa itu. Selepas tewas dalam perlawanan akhir Sukan Olimpik 1928 di Amsterdam, Argentina membalas dendam dalam Kejohanan Amerika Selatan 1929 dengan menewaskan Uruguay dalam perlawanan penentu. Dalam tempoh ini juga, Bolivia dan Peru membuat penampilan sulung masing-masing dalam kejohanan pada tahun 1926 dan 1927.